Monday, February 16, 2009

JALAN KELUAR UNTUK SULTAN PERAK DAN ISTANA

Dalam setiap kesempitan tentu ada jalan keluar....

Baginda Sultan Perak sememangnya sangat dihormati rakyat dan disegani dikalangan Raja-raja Melayu. Akan tetapi tindakan DYMM Tuanku dalam isu perlantikan MB Perak yang terbaru ini nampaknya kelihatan seperti DYMM Tuanku 'berpihak' kepada BN walaupun DYMM Tuanku pada hemat saya cuba mengambil keputusan terbaik untuk menstabilkan pentadbiran kerajaan negeri Perak.

Dalam isu ini samada DYMM Tuanku memihak kepada BN atau PR tidak timbul. Apa yang berlaku ialah DYMM Tuanku kelihatan 'seolah2' memihak kepada BN walaupun saya yakin DYMM Tuanku tidak bermaksud begitu. Sebagai rakyat biasa saya juga akan nampak 'seolah2nya' begitu dan itulah yang menjadikan rakyat kecewa dan sebahagiannya menyatakan kekecewaan mereka dengan peristiwa perhimpunan di masjid itu. Perlu diingat bukan semua yang kecewa dengan keputusan itu hadir kerana masih ramai lagi yg kecewa dengan keputusan DYMM Tuanku tidak menyatakan bantahan secara jelas tetapi meyimpan perasaan itu sehingga satu masa yang sesuai untuk diluahkan.

MB Perak baru telahpun diperkenan oleh DYMM Tuanku. Mungkin agak sukar untuk menarik balik perkenan itu. Air muka DYMM Tuanku perlu dipelihara sebaiknya dalam apa juga keputusan yang bakal diambil. Tapi apalah nilai air muka jika ia mengundang bencana dan kebencian rakyat. Sebagai Sultan yang hatinya rapat dengan rakyat, kesedihan dan kehampaan rakyat terhadap keputusan DYMM Tuanku tentulah lebih pahit untuk ditelan dari menjaga air muka dan status kesultanan. Apalah salahnya Tuanku mengakui kesilapan buat kali ini agar terus dikenang sebagai Sultan yang prihatin dengan pandangan hamba rakyat. Ular menyusur akar takkan hilang bisanya. Pemimpin UMNO/BN sebagai hamba rakyat yang patuh dan sentiasa menjunjung titah DYMM Tuanku pasti akan menerima penarikan semula perlantikan itu kerana hanya beberapa orang sahaja yg kecewa berbanding ribuan/jutaan hati rakyat yang terluka tak mudah untuk diubati hanya dengan kata-kata manis apatah lagi ditambah ejekan dan tohmahan media arus perdana yang amat menyakitkan hati.

DYMM Tuanku mungkin tersepit, samada menerima saranan BN atau PR. Pada hemat patik pilihanraya seluruh negeri adalah sesuatu yang hanya membazir masa dan tenaga rakyat. Walaupun demikian adalah penting untuk Tuanku mengambil jalan berkecuali seperti yang dimaksudkan oleh DYMM Raja Nazrin. Antara jalan akan meletakkan Tuanku nampak berkecuali dan sememangnya berkecuali adalah dengan cara Tuanku menangguhkan dan menarik semula perlantikan MB Perak yg baru sehingga Mahkamah membuat keputusan tentang status perletakan jawatan 2 bekas ADUN PKR dan 1 bekas Adun DAP. Apabila mahkamah telah membuat keputusan barulah Tuanku membuat keputusan seterusnya yang selari dengan keputusan mahkamah. Jika mahkamah menyatakan surat perletakan jawatan itu sah, maka pilihanraya kecil perlu diadakan dikawasan2 terbabit. Maka biarkanlah hamba rakyat yang Tuanku kasihi yang memilih pemimpin kepercayaan mereka. Jika mahkamah membuat keputusan bahawa perletakan jawatan itu tidak sah maka Taunku wajar menggunakan kuasa yang ada pada Taunku untuk membenarkan speaker Dewan Undangan Negeri memanggil sidang tergempar dengan wakil dari BN membentangkan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar Perak dari PR. Jika majoriti anggota dewan yang dipilih oleh rakyat mengundi untuk menggugurkan MB dari PR maka itulah keputusan majoriti kepimpinan yang dipilih oleh rakyat. Pada masa itu barulah Tuanku memberikan perkenan perlantikan MB Perak yg baru dari BN.

Jika itulah pilihan DYMM insyaAllah hamba rakyat yang dikasihi akan terus menjunjung kasih ke atas DYMM Tuanku dan tiada siapa yang akan dibenci oleh hamba rakyat dalam menyelesaikan kemelut politik ini kerana semua keputusan dibuat oleh mahkamah dan wakil2 rakyat yang dipilih sendiri oleh rakyat. InsyaAllah DYMM Tuanku akan dipandang tinggi oleh hamba rakyat sebagai Sultan yang bijaksana dan tidak memihak kepada mana-mana politik bahkan mementingkan kepentingan rakyat dan keharmonian rakyat dipelihara.

Semoga Allah memberikan kekuatan kebawah DYMM Tuanku untuk mengambil langkah yang terbaik untuk terus dikenang dan dikasihi hamba rakyat seterusnya mengekalkan hubungan baik istana, kerajaan negeri dan rakyat untuk kebaikan rakyat seluruhnya.

Daulat Tuanku...

No comments:

Post a Comment